Nak Tuntut Waranti Sistem Solar / Solar Panel Dengan Siapa?

Updated: Nov 5


Pemasangan sistem solar melibatkan beberapa rantaian perkakasan/peralatan untuk menjadikannya satu sistem yang lengkap dan boleh berfungsi dengan efisien.

Dalam artikel sebelum ini saya ada menerangkan jenis-jenis waranti yang terdapat di dalam rantaian sistem solar anda. Kerana keghairahan untuk memasang sistem solar, anda mungkin terlepas pandang beberapa perkara berkaitan waranti dan isu-isu di luar jangkaan sama ada semasa atau selepas sistem solar dipasang.


Di sini saya akan fokuskan kepada homeowners supaya mereka lebih memahami apa yang tersirat dalam pemasangan sistem solar ini.


Perkara pertama yang anda perlu buat sekiranya anda telah bersetuju untuk memasang sistem solar di rumah, sila pastikan bahawa syarikat yang akan memasang solar panel dan sistem solar tersebut memberi penerangan yang jelas berkenaan waranti. Ini amat penting kerana anda melabur wang yang banyak untuk memasang sistem solar tersebut. Ia umpama anda membeli sebuah kereta dan membayar ansuran bulanan kepada bank sehingga tamat tempoh sewa beli. Kereta baharu pun ada waranti, inikan pula sistem solar yang melibatkan puluhan ribu ringgit. Apabila anda selesai membayar hutang bank, anda boleh jual kereta tersebut dengan nilai semasa selepas depreciation. Adakah perkara yang sama akan berlaku kepada sistem solar anda? Bolehkah anda menjual sistem solar tersebut apabila anda menjual rumah anda? Adakah nilai rumah anda akan bertambah dengan adanya sistem solar tersebut? (Isu ini akan dibincangkan dalam tajuk yang lain).


Waranti Solar Panel


Waranti Solar Panel hanya dikeluarkan oleh pengilang solar panel tersebut kepada direct buyer sahaja. Sebagai contoh Second Solar Sdn Bhd jual solar panel mereka kepada OP dengan waranti 25 tahun dan OP jual solar panel kepada syarikat pemasangan ABC. Semasa OP jual solar panel tersebut kepada ABC, OP akan memaklumkan kepada ABC bahawa solar panel ini mempunyai waranti selama 25 tahun. Adakah ABC akan memaklumkan kepada homeowners waranti ini? Adakah akan ada perjanjian di antara ABC dengan homeowners berkenaan waranti ini? Apakah waranti yang akan ABC jamin dengan homeowners? Adakah ABC akan menjamin pemasangan sistem solar tersebut selama 25 tahun? It’s too good to be true. Waranti kereta pun tidak lebih 5 tahun. Jadi pastikan anda tahu waranti 25 tahun itu untuk apa.


Jika dalam tempoh 25 tahun tersebut anda dapati prestasi solar panel tidak memuaskan, bagaimana anda hendak memeriksa solar panel yang dipasang di atas bumbung? Siapa yang akan memeriksanya dan apa rujukannya untuk membolehkan homeowners claim waranti solar panel tersebut? Untuk layak claim waranti solar panel, homeowners kena bawa solar panel tersebut ke makmal dan test solar panel tersebut sama ada menepati “Standard Test Condition” (STC) seperti di belakang solar panel. Sekiranya hasil ujian menunjukkan kegagalan yang ketara, barulah anda berhak untuk menuntut waranti tersebut. Persoalannya, siapa yang sanggup nak cabut, bawa ke makmal dan tanggung kos yang terlibat? Ini adalah antara prosidur yang dinyatakan oleh pengilang solar panel terkemuka sekiranya anda nak claim waranti solar panel. STC dilekatkan di belakang solar panel ada tujuannya.


Jika anda membeli solar panel dari negara yang tengah famous jual dengan murah dan anda lekat sticker STC anda sendiri dan pasang di rumah homeowners, boleh jadi macam-macam isu nanti. Terdapat kes (bukan di Malaysia) yang mana homeowners menuntut waranti solar panel daripada syarikat yang memasang selepas beberapa tahun, namun gagal kerana syarikat tersebut telah tidak wujud lagi (digulungkan dll) (Tips – cari syarikat yang akan wujud for the next 25 years ya). Homeowner ini terpaksa deal direct dengan pengilang solar panel untuk menuntut waranti tetapi gagal kerana pengilang tidak memberi waranti kepada end user sebaliknya hanya kepada syarikat yang membeli solar panel tersebut. Di Malaysia? Saya pun tidak pasti. Tunggulah ada pihak yang hendak menyaman baru kita selongkar.


Isu pemasangan solar panel dibumbung ini agak menarik untuk dibincangkan kerana ia melibatkan banyak pihak. Sekiranya berlaku angin yang kuat yang mana solar panel berterbangan seperti yang berlaku di sebuah sekolah di utara Malaysia (lihat artikel bertarikh 6.10.2019 dalam website kami) atau litar pintas atau kebakaran yang melibatkan harta orang lain atau nyawa orang lain, siapakah yang akan bertanggungjawab? Anda atau syarikat yang memasang solar panel tersebut? Adakah sistem solar anda dilindungi oleh insuran? Atau adakah berbaloi sekadar mengambil insuran kebakaran untuk rumah anda?


Semoga artikel ini dapat memberi sedikit manfaat kepada semua untuk difikirkan.

147 views

Copyright © 2018 Othman & Partners, LLP. All rights reserved.  Email:info@othmanpartners.com